Sunday, February 11, 2007

kisah di bumi berdebu

“Duhai, perempuan tua. Di mana kau letak kasihmu, sekiranya bukan pada dunia ini?” tanyanya dengan wajah yang bengis. Lelaki itu, seorang soldadu berceloreng kelabu, mengacu muncung senjata MP5Nnya. Matanya merenung tepat pembidik di hujung muncung yang selari dengan dahi perempuan tua. Jarinya bersedia di picu.

“Orang muda, kamu lihatlah sendiri. Sekelilingmu, dan juga apa yang sedang kamu lakukan… manakan mampu aku menyatakan kasih lagi kepada dunia ini,” tingkah perempuan tua itu. Suaranya terketar-ketar di tenggorok. Wajahnya berdebu. Namun, ada garisan halus di bawah kedua-dua kelopak matanya, turun ke dagu berkedut. Garisan itu berkerak, sedikit berkilau tanda pernah mengalir air dan kering bersama debu-debu pasir.

“Kami hanya membawakan dunia baru kepada kalian yang seperti orang-orang gasar. Kalian berhak menikmati dunia ini dengan cara kami!” balas soldadu itu. Matanya tidak berkedip.

“Kami sudah ada dunia indah yang dijanjikan….” Perempuan tua itu semakin mengesot ke belakang. Sehingga ke penjuru di mana dia tidak mampu lagi mengesot. Terkepung dengan dinding-dinding pecah rumahnya.

Di luar, bunyi-bunyi peluru dimuntahkan daripada muncung-muncung senjata pelbagai kaliber berentetan. Seperti hujan lebat yang menjunam dari langit dan menimpa atap-atap zink bocor dan berkarat. Asap-asap hitam di mana-mana… menjulang berkepul-kepul menggelapkan langit biru jernih. Dan, letupan-letupan bersilih ganti menggegarkan bumi yang berdebu. Umpama genderang-genderang kemaraan bala tentera kematian.

“Perempuan tua… kamu yang tersepit hanya beromong semahumu. Omongan seperti itu tidak akan membawa kebahagian kepadamu sebelum aku memetik picu ini.”

“Kebahagian hanya datang kepadaku apabila kamu memetik picu itu,” balas perempuan tua itu. Dari mana semangatnya datang memeluk tubuh tua itu, dia sudah berani tersenyum! Lalu perempuan tua itu mengucapkan sepotong ayat daripada Surah Al-Baqarah, ayat 86, “Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat) dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.”

“Perempuan tua, jangan kamu menyindir aku dengan kata-kata kamu! Ugutan sebegitu tidak akan menakutkanku!” Soldadu berceloreng kelabu itu membentak marah. Gigi-giginya berlaga apabila digetapkan kerana menahan geram.

“Duhai, anak muda. Apa yang ku ucapkan, bukanlah daripada kata-kataku sendiri. Demikianlah bicara Tuhan sebagai peringatan kepada kita semua,” jelas perempuan tua itu. Terketar-ketar dia menongkat lutut dan berdiri mendepani soldadu. “Kamu bahagia, duhai anak muda?” tanya perempuan tua itu lagi.

“Kebahagiaan aku bukan urusanmu!” bentak soldadu itu lagi. Langkahnya berundur selangkah ke belakang. Namun, MP5Nnya masih pada sasaran seawal tadi.

“Perempuan tua ini cuma berbicara sebagai seorang tua yang pernah menjadi ibu dan isteri… dan perempuan tua ini masih lagi mangsamu. Anak muda, kamu tidak perlu gentar dengan aku. Jawablah, dan anggaplah ini bual bicaraku yang terakhir di dunia ini sebelum kamu menyempurnakan niatmu menerobos tubuhku dengan peluru…”

Soldadu itu memandang anak mata berwarna hazel perempuan tua itu. Jelas dan jernih. Wajah bengisnya mengendur. “Kebahagiaanku… dirampas oleh sepucuk surat yang membawa aku ke negara ini…,” ujarnya. “Namun,” sambungnya lagi, “Aku masih mampu bergelak ketawa di sini, sekiranya botol-botol hijau pekat itu dalam genggamanku pada malam-malam hari. Sesungguhnya aku sedar ketawaku palsu dan senyumanku beku. Aku cuba menipu wajah sebenarku daripada dibaca sahabat-sahabatku. Dan aku tahu, mereka juga memasang topeng sepertiku.”

Bibir kering perempuan tua itu terukir senyuman halus penuh ikhlas menzahirkan rasa betapa dirinya tersentuh dengan nasib soldadu itu. “Anak muda, mungkin dalam api peperangan ini, sudah takdirnya kamu bakal berjumpa kebahagian yang hakiki? Yang bakal kamu kongsikan dengan keluargamu yang tercinta apabila pulang nanti? Kerana bagi kami, setiap sesuatu ada hikmahnya.”

“Manakan mungkin bicaramu menjadi nyata dalam suasana begini, perempuan tua. Bingit muntahan peluru senjata ini membuatkan aku tidak lagi dapat mendengar walau bisik hatiku sendiri!” soldadu itu menyangkal dengan bicara yang ikhlas dari hatinya. Terdetik perasaan pelik bagaimana dia mampu berbicara pula dengan mangsanya.

“Bumi berdebu ini akan menghadirkan kebahagiaanmu sekiranya suara yang terlontar lima kali sehari dapat dihayati oleh hatimu,” bicara perempuan tua itu menghadirkan persoalan di benak soldadu.

“Lima kali sehari? Apa maksudmu, perempuan tua?”

BANG!

Perempuan tua bermata hazel itu tersenyum dan terus tersenyum apabila rebah ke lantai berdebu. Cairan pekat merah mengalir membuak-buak daripada lubang di dadanya.

Soldadu berceloreng kelabu itu terpaku. Di saat itu, bahunya ditepuk. Daripada belakang, datang seorang lagi soldadu berceloreng kelabu. Muncung MP5Nnya masih bersisa asap putih.

“Maafkan aku kerana terpaksa menghentikan perbualan kalian. Ayuh, kita diperlukan di poin tenggara bandar ini,” ucap soldadu berceloreng kelabu yang baru muncul. ‘Maaf’ yang diucapnya cuma berbasa basi.

Soldadu berceloreng kelabu yang membidik muncung senjata di dahi perempuan tua itu masih terpaku. Bidikan itu terus mengikut dahi perempuan tua itu walaupun dikala rebahnya. Sehingga sekarang, perempuan tua itu sudah menutup mata, namun bidikannya tidak pernah teroleng ke tepi. Soldadu berceloreng kelabu itu masih terpaku.

“Aku tidak tahu kamu boleh berbahasa Arab. Malam nanti kamu boleh ceritakan apa yang kamu bualkan kepada kawan-kawan di kem!” ujar soldadu yang baru muncul itu lagi.

Soldadu yang digelar ‘anak muda’ oleh perempuan tua itu tadi, terbuka kecil mulutnya. Matanya juga terbuka lebih luas. Lengannya yang mengacung senjata mula mengendur membawa senjata itu rapat ke perut dengan muncungnya menghala ke bawah. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah soldadu yang baru muncul dan dengan terketar-ketar dia bertanya, “Aku berbicara dalam bahasa Arab… tadi?”

1 comment:

bayan said...

hey, ini cerpen yang baik, intronya menarik. mengapa terhenti setakat itu? Idea lari?

Hey, kamu boleh buat, kerana asas penulisan kamu sudah mantap.

Tahniah untuk ini, dan takluk jagat yang sudah menakluk hati saya.

Semoga berjaya