Friday, August 04, 2006

Superman (Bukan yang pakai seluar kecik kat luar tu!)

Lumrah perjalanan hidup, semakin jauh menapak dan semakin panjang jaluran masa ditempuh, memungkinkan bukit pengalaman semakin tinggi. Itupun sekiranya insan yang menapak itu tahu menghargainya. Sekiranya tidak, dunianya akan mendatar sahaja. Tiada 'bukit-bukau' yang menyemarakkan jiwa. Tiada halangan yang mencabar baginya untuk mendaki dan menikmati pandangan hidup yang dilalui.

Dan dalam perjalanan ini pasti kita berjumpa dengan ramai orang yang kita kagumi dan dipandang tinggi. Ada sesetengah mereka adalah orang besar-besar dalam masyarakat dan ada pula cuma nampaknya orang biasa. Namun, semangat dan persona mereka membuatkan kita kagum. Dalam bukit-bukau pengalaman kita, mereka ini bagaikan kristal yang menyinar di celah-celah batuan ataupun pohon yang tinggi menghijau.

Aku teringatkan satu jejak tapak yang pernah dilalui. Berbelas tahun dahulu. Semasa aku masih mentah di tingkatan satu di sebuah sekolah. Aku tinggal di asrama. Semua pelajar tinggal di asrama. Lima tahun yang melekat di ingatan.

Ada seorang pelajar tingkatan lima. Seorang pengawas sekolah. Semua pelajar tingkatan satu gentar kepadanya. Kerana wajahnya yang sentiasa masam apabila bertemu dengan kami. Tetapi aku dan empat sahabat aku terkecuali. Masa-masa lapangnya biasanya dihabiskan dengan kami. Katanya kami berlima perlu diberi perhatian lebih sebab kami ada potensi menjadi pelajar pemberontak. Aku masih mentah, tidak tahu kata-katanya itu cuma gurauan ataupun benar-benar.

Dia memberi kami masing-masing gelaran yang pelik. Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar di asrama mendapat nama gelaran. Lima nama rockstar untuk kami berlima. Aku digelarnya Nikki Sixx. Nama seorang ahli kumpulan Motley Crue. Katanya, sifat aku sama macam Nikki Sixx, sebab itu dia memberi gelaran itu kepadaku. Aku tidak meminati Motley Crue dan pastinya tidak kenal siapa Nikki Sixx. Nasib baiklah gelaran itu cuma keluar dari mulutnya sahaja dan orang lain tidak ambil peduli. Sebab aku rasa pelik dengan nama tu. Aku Melayu!

Aku memanggilnya Abg Din. Orangnya sentiasa bersemangat. Rasanya orang yang paling bersemangat pernah aku jumpa. Dia seperti suka mencabar dan menguji batasan dirinya. Dan dia selalu membuat kerja gila. Kelebihannya, dia memiliki sepasang kaki yang kuat. Dengan keyakinan kepada sepasang kaki inilah dia membuat kerja gila.

Pernah satu kejadian, semasa prep petang ada beberapa orang pelajar yang terlewat mengosongkan asrama. Pelajar-pelajar ini berlari tergopoh-gapah untuk mengelakkan diri ditangkap. Mereka sudah menuruni tangga di tingkat satu dan Abg Din yang berada di tingkat dua tentu tidak sempat mengejar mereka. Apabila sampai di tangga terakhir mereka terdengar bunyi benda yang berat jatuh di halaman asrama. Mereka memandang arah bunyi itu dan terkejut melihat Abg Din sedang tersenyum merenung mereka. Dia terjun daripada tingkat dua! Bukanlah keinginannya menangkap pelajar melanggar peraturan yang membuatkan dia sanggup membahayakan diri. Tetapi baginya, itu adalah satu peluang baginya mencabar batas keupayaan diri. Dia pernah mengajar tekniknya terjun bangunan pada aku. Aku pernah melakukannya cuma daripada tingkat satu. Dia pun cuma sekali itu sahaja melompat dari tingkat dua.

Semasa latihan merentas desa, sekali lagi dia mengejutkan kami. Semasa masih ada lagi pelajar yang belum meninggalkan kawasan sekolah (pelajar dilepaskan berperingkat-peringkat, selang lima minit. Itupun kalau betul ingatan aku) dia sudah sampai di pintu sekolah. Kata guru pengiring, dia berlari pecut seperti acara 100m sepanjang masa dan cuma berhenti beberapa kali. Tetapi apabila diminta mewakili sekolah, dia keras menolak.

Zaman remaja di sekolah menengah pasti didatangi rasa ingin bercinta. Abg Din juga sama. Dia ada meminati seorang gadis. Tetapi cuma diam-diam. Kami berlimalah tempat meluahkan perasaannya. Namun pada satu hari, dia ternampak gadis itu bersama seorang pelajar lelaki lain di pondok bacaan. Abg Din berasa cemburu dan kecewa. Cemburu buta adalah lumrah dalam umur begini. Kami cuba menenangkannya dengan memberi macam-macam alasan. Yang logik dan yang tidak. Namun, sia-sia. Tiang besi di belakang dewan makan menjadi tempatnya protes. Tiang tidak berdosa itu bengkok ditendangnya. Dan lekuk tiang itu terus kekal sehingga aku di tingkatan lima. Lebih seminggu dia berjalan jengket-jengket.

Semangat dan prinsipnya cukup bagi aku menghormati dan mengaguminya. Dalam menguji batas keupayaan diri, dia digelar gila. Dalam pelajaran juga, dia pelajar yang dipandang tinggi. Juga seorang pengawas berdedikasi. Seorang sahabat dan senior tingkatan lima yang paling rapat dengan aku.

Selepas dia menghabiskan tingkatan lima, kami tidak berjumpa dengannya lagi. Sehingga tingkatan tiga, barulah kami berlima mendapat khabar mengenai Abg Din. Khabar yang mengejutkan diumum di pembesar suara sekolah. Dia kemalangan dirempuh bas ekspress semasa ingin melintas jalan pulang ke rumahnya. Dia meninggal di tempat kejadian. Pihak sekolah memilih beberapa orang pengawas untuk melawat jenazah. Kami berlima terdiam dan saling memandang. Seorang daripada kami bergegas ke bilik pengawas bagi meminta kebenaran untuk turut bersama. Tetapi tidak dibenarkan. Kami tidak berpeluang menatap Abg Din buat kali terakhir.

Selepas prep petang itu, kami berlima di belakang dewan makan mengelilingi sebatang tiang yang berlekuk. Al-fatihah.

3 comments:

Yue Yusof said...

Masih lagi pengunjung setia...

Anonymous said...

apabila membaca cerita ini saya rasa ingin berjumpa dgnnya. tapi d akhir cerita dia telah tiada. alFatihah.

leya_zaini said...

hi!! saya pun br je join blog. saje je isi mase lapang. ade mase singgah le kat saye nye blog. ble nengok hubby saya...http://leyainiaz.blogspot