Wednesday, December 20, 2006

Jambatan ke Terabithia

Semalam aku rancak berbual bersama Ajif Alyridura melalui YM. Segalanya mengenai rancangan kami untuk bekerjasama menghasilkan karya. Dalam kerancakan ber'chat' dia menghantar satu link Apple Trailers kepada aku. "Nah, tengok. Boleh bagi inspirasi ni!" katanya. Aku klik.

Bridge to Terabithia

Walaupun hanya sekadar trailer, memang mengasyikkan. Mungkin boleh memberi inspirasi bagi menulis kisah-kisah fantasi.

Bridge to Terabithia diadaptasi daripada sebuah novel karya Katherine Paterson. Mengisahkan seorang pelajar gred lima bernama Jess Aarons yang ingin menjadi pelari terpantas dalam kelasnya. Demi mencapai impiannya, dia tidak jemu-jemu berlatih.

Boleh dikatakan cerita ini bermula apabila seorang tomboy bernama Leslie Burke (comelnya pelakon watak ini dalam filem!) menjadi jirannya. Bukan sahaja perwatakan gadis ini berbeza dengan gadis-gadis lain (mungkin kerana dia tomboy), Leslie Burke juga telah mengalahkannya dalam perlumbaan dan menjadi pelari terpantas dalam gred lima!

Seterusnya mereka menjadi sahabat rapat, sehati sejiwa. Mereka mencipta negara imaginasi mereka sendiri di dalam sebuah hutan yang dinamakan Terabithia. Alam ini hanya dapat dimasuki dengan bergayut pada seutas tali menyeberangi sebuah parit. Di sini, mereka berdua adalah raja dan permaisuri, berjuang menentang makhluk-makhluk jahat dan raksaksa. Terabithia adalah syurga mereka berdua sehinggalah tragedi menimpa dan mereka terpisah selama-lamanya...

Bridge to Terabithia mula-mula diterbitkan pada tahun 1977. Novel terbitan Harper Trophy setebal 144 ms ini diilhamkan daripada kejadian yang menimpa anak Katherine Paterson, David. Semasa umur David 8 tahun, kawan rapatnya, Lisa Hill terbunuh akibat disambar petir. Jadi tidak hairan apabila dalam keasyikan menyusuri dunia Terabithia, kematian tragis tiba-tiba dicampakkan kepada anda!

*Diolah daripada sumber Amazon.com

No comments: