Sunday, January 14, 2007

padi 1

Kampung aku selepas musim menuai


Sekarang orang kampong sibuk ke hulu hilir, tak lekat di rumah. Yang lelakinya, berseluar lusuh tak nampak warna, berbaju kusam adalah biasa. Dan kadang-kadangnya tidak pakai baju pun! Yang si isteri pula mengikut sama. Berkain batik bertompokkan kelabu selut kering. Bajunya mungkin lebih berseri daripada baju suami. Tudungnya diikat ala kadar asalkan menutup rambut dan tidak tercabut. Masing-masing tersengih ke telinga, bersama-sama menunggang kapcai buruk yang warnanya juga sama dengan warna selut. Angin bertiup kencang menolak-nolak kapcai sampai terhuyung-hayang. Namun senyum tetap sampai telinga! Bukan apa, sekarang sudah sampai musim menuai. Musim dapat duit bagi pesawah-pesawah di utara. Musim timoq (kata orang sini)! Destinasi mereka? Tentulah sawah bendang masing-masing!

Sekiranya pada masa-masa lain, hawa di utara begitu panas sekali, tetapi pada musim ini, dinginnya menggigit tulang! Angin pula berhembus-hembus kuat tidak berhenti. Tidur malam pula tidak cukup selapis selimut. Mana tidaknya, minyak kelapa di dalam botol pun boleh beku!

Tetapi, apa yang aku lihat dan sedari, betapa teknologi merubah kehidupan pesawah-pesawah ini (termasuk orang tuaku). Aku anak pesawah, selut di bendang menjadi permainan aku satu masa dulu. Aku membesar dengan melihat tanah berselut itu menjadi tapak kepada pembinaan bangsa Malaysia (orang Malaysia makan nasi kan? Hehe…).

Tanah yang kering kontang dan keras setelah padinya dituai, menjadi hitam kerana tunggul-tunggul jerami yang tinggal terpaksa dibakar. Mengapa perlu dibakar? Mengapa kita perlu marah-marah kepada jiran kita di Indonesia yang membakar hutan sedangkan kita sendiri membuat pembakaran terbuka?

Sabar! Ini perkara berbeza! Saya tidak mahu sentuh bab pembakaran mereka. Lantaklah mereka! Pernah beberapa tahun dulu, ada yang marah kepada pesawah-pesawah ini kerana asap tebal hasil pembakaran bendang mereka telah mengundang kemalangan di lebuhraya di Kedah. Di sini, pesawah-pesawah perlu membakar jerami untuk menghapuskan padi angin (padi yang berbuah tetapi tiada isi) dan rumpai.

Mengapa tidak diracun sahaja? Mahukah kalian memakan hasil tanaman yang asyik kena racun sahaja? Padi angin dan rumpai akan membina ketahanan (kebal) terhadap racun sekiranya kerap digunakan. Jadi, cara yang tinggal cuma dengan membakar (racun hanya praktikal digunakan pada fasa lain dalam penanaman padi). Dan dengan membakar juga, akan menambahkan tahap kesuburan tanah (dengarnya, inilah alasan dari pihak Indonesia, selain daripada kos). Pendapat ini benar, tetapi tidak semuanya benar. Nutrien yang terhasil daripada pembakaran tentu sekali akan menyuburkan tanah, namun hanya untuk masa yang singkat. Nutrien ini mudah mengalami larut lesap. Apabila datangnya hujan, hilanglah ia. Alasan ini untuk pembakaran hutan… kurang sesuai kot?

Bagi padi pula, nutrien ini akan terus kekal di dalam tanah buat seketika sehingga petak sawah yang kontang itu diairi, dan proses penyemaian biji benih / penanaman padi bermula. Pada masa inilah, nutrien yang mengalami proses larut lesap perlahan-lahan (penakungan air dalam petak sawah melambatkan larut lesap) berguna kepada pengakaran biji benih dan pembesaran anak padi (bagi padi yang ditanam secara semaian).

Memang ada teknologi yang dapat menggantikan kaedah pembakaran jerami, namun ia kurang sesuai digunakan secara meluas pada tempoh ini. Teknologi baru ini (sebenarnya sudah dibangunkan beberapa tahun lepas) memerlukan kos yang tinggi (kerana penggunaan jentera-jentera canggih) dan tentunya tidak mampu ditanggung pesawah-pesawah.

Jadi, apa yang perlu pesawah-pesawah lakukan bagi melakukan pembakaran jerami pada keadaan yang selamat? Pertama, kawalan. Setiap kali membakar jerami, mereka perlu berada di sana sepanjang masa. Api perlu dikawal supaya tidak merebak ke petak-petak bendang yang lain. Dalam musim yang kering dan angin yang kuat, usaha ini tentu sahaja sukar. Di sesetengah kawasan, pihak bomba turut sama bersedia membantu pesawah-pesawah ini dalam mengawal api. Kedua, giliran. Pesawah-pesawah tidak digalakkan membakar jerami serentak di dalam satu-satu kawasan. Jadi, kaedah ini mengurangkan asap tebal yang terhasil. Api juga dapat dikawal dengan lebih mudah.

…bersambung kot?

No comments: