Aku berasa senang apabila maksud sebenarku dalam menulis entri sebelum ini tercapai. Terima kasih kepada kanda Raina kerana mengulasnya.
Kelihatannya, kita yang selesa di tanah sendiri nampak ketinggalan. Ataupun, lebih tepatnya, jelas ketinggalan. Bukan niatku untuk bersikap prejudis. Aku sukakan keharmonian sebegini. Unik. Cukup indah. Namun, dalam keindahan inilah kita lalai.
Mereka yang merantau ke sini, kurus kering dalam kemiskinan, ada yang dijual sebagai buruh, terketar-ketar bernafas dalam udara perit perjuangan anak watan berdekad-dekad lepas kini menyedut udara amat lenang, tembun-tembun dan berperut buncit. Ah, betapa bersyukurnya mereka ‘terbuang’ ke bumi bertuah ini.
Kita? Dengki? Jangan! Buanglah jauh-jauh sifat itu. Jelas bertentang dengan resapan budaya yang menjadi amalan, apatah lagi dengan pegangan agama!
Kita tidak sedar, kita terlalu leka. Asyik dengan keselesaan di tanah sendiri. Sudah menjadi tunjang budaya kita yang ramah-tamah, bersopan santun. Lalu, kita katakan kepada mereka, “Masuklah. Buatlah seperti rumah sendiri.” Dan di sinilah kesilapan terbesar kita. Aku malas mengulas lanjut. Faham-faham sendirilah…
Tetapi, kepada anak bangsa sendiri pula, kita mengajar, “Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau, menguak!”
Leluhur kita meninggalkan kata-kata ini kepada kita dengan harapan tahu menggunakannya. Ada masa yang sesuai, ada masa yang tidak. Jika tidak, mereka tidak akan kata, “Akal di kepala, bukan letaknya di lutut!”
Thursday, February 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment