Friday, July 03, 2009

encore

Entah sudah berapa kali mimpi itu berulang dalam tidurku. Dan malam semalam ia berulang lagi. Ceritanya sama, tetapi lokasinya kerap kali berubah. Daripada sebuah perkampungan Melayu tradisional, dan malam semalam berubah ke sebuah bangunan yang menyerupai asrama sekolahku dahulu.

Seperti biasa, mimpi itu bermula dengan aku yang dalam keadaan keliru, sendirian di malam gelita. Dan seperti biasa juga, apabila menoleh ke belakang, api kecil kelihatan di kejauhan. Semakin lama api itu semakin dekat, dan aku mendapati ia berpunca daripada sebatang jamung yang dibawa oleh sesusuk tubuh yang sedang berlari. Semakin hampir, aku dapat melihat jelas susuk itu – berpakaian Melayu lama, seperti apa yang dapat kita lihat dalam cerita-cerita purba, filem Melayu hitam putih, lengkap dengan samping dan destar. Ia berlari ke arahku, aku katakan ‘ia’ kerana apabila hampir, aku dapat melihatnya dengan jelas susuknya – yang nyatanya bukan manusia, tetapi mungkin pernah menjadi manusia. Susuk itu cuma tulang rangka. Dan destar itu terletak elok di atas tengkoraknya. Sesuatu yang aku perasan, tangannya yang cuma tulang itu memeluk erat sebuah bungkusan kain yang aku dapat melihat isinya – seperti kitab tebal tanpa kulit.

Aku menggeletar dan sudah tentu takut. Aku membuka langkah, cuba melarikan diri daripadanya. Tetapi ia amat pantas. Sedar-sedar sahaja sudah berada di belakangku. Aku terus duduk dan menekup kepala, takut memikirkan apa yang mungkin dilakukannya kepadaku. Tetapi ia terus berlalu. Baru aku sedar, ia bukan mengejar aku tetapi ia sedang dikejar.

Sekonyong-konyong, aku terdengar riuh suara. Kata mereka, “Tutup pintu kota!” Aku memandang ke arah laungan itu, ada seorang lelaki berperut buncit yang berpakaian seperti tulang rangka tadi, berdiri di hadapan ratusan orang yang juga berpakaian sama. Aku tahu dia memberi arahan kepada seseorang, lalu aku menoleh mencari kepada siapa ia ditujukan. Tidak jauh di hadapan, entah bila ia berada di situ, ada sebuah gerbang daripada kayu dan buluh sedang ditutup oleh beberapa orang lelaki. Sebelum habis gerbang itu ditutup, aku dapat melihat di sebaliknya, seorang lelaki berpakaian segak seperti hulubalang diiringi ratusan orang bersenjata dan membawa jamung sedang mara. Mereka nyatanya seperti ingin memulakan perang.

“Kertas-kertas ini kita mesti pertahankan. Jika jatuh ke tangan yang salah, seperti mereka, tidak tahu entah apa yang akan jadi.” Lelaki berperut buncit itu tiba-tiba berkata kepadaku. Walaupun entah sudah berapa kali aku mendengar kata-kata itu yang sama dalam setiap ulangan mimpi ini, aku masih tidak faham maksudnya.

Tempat itu tiba-tiba terang benderang. Jika mimpiku itu bersuasana kampung Melayu, akan ada menara-menara tinggi diterangi api jamung dan pemanah-pemanah di atasnya yang bersedia dengan anak panah berapi. Tetapi mimpi semalam sedikit berbeza. Tiada menara. Pemanah-pemanah itu berdiri di koridor belakang setiap tingkat bangunan. Tetap bersedia. Seperti gulungan filem yang rosak, mimpi itu berakhir di situ.

Sekurang-kurangnya tulang rangka itu tidak kelihatan lagi.

4 comments:

DeeN said...

Salam enchek,

Er.. mimpi neh ada sekuel tak? Macam best jer! ;)

zaki zainol aka kangaq said...

takde sekuel.. mimpi dah tak mari dah... tido tak menentu time.. haha..

Unknown said...

Macam buku cerita plak. Best (wp bagi pemimpi ia mengerikan) hahahaha...

rahmahmokhtaruddin said...

betul2 mimpi ke ni? menariknya!