Malam ini kita melihat diri. Sejauh mana sudah kita berjalan. Seluas mana sayap sudah kita tebarkan. Berapa banyak yang sudah kita dapat. Berapa banyak yang sudah kita hilang. Apa pengertian yang sudah kita faham dalam pencarian. Apa makna yang masih sukar kita ungkapkan dalam kejumpaan. Damaikah dalam semusim ini, ataupun yang hadir cuma gelora yang membadai hidup. Kita terancang ataupun rakus memburu cita-cita. Apakah kita ada cita-cita?
Mungkin kita patut bersyukur sekiranya apa yang kita kenangkan pada malam ini adalah dosa semusim yang lepas. Bermakna kita masih punya rasa cinta pada kedaifan diri, benteng kebongkakan yang mungkin bakal menghanyut kita pada perjalanan musim baru yang sudah pun bermula. Kita berfikir untuk membaiki kekurangan diri yang kita sedar, atau mungkin menambah kelebihan diri yang kita ada-adakan. Perasan pada kejelikan mata yang memandang, atau langsung kita tidak peduli.
Semusim lepas juga, sehingga ke malam ini, kita melihat manusia-manusia bersuara nyaring di jaringan sosial – tentang kedunguan itu dan ini. “Hakikat perjuangan,” sesetengahnya menyuarakan. Aku sendiri tidak faham. Hal-hal politikus aku langsung tidak mengerti. Cuma aku rasa, kedunguan tidak perlu dipolitikkan, kerana orang yang mempolitikkan kedunguan itu cuma akan sama sahaja dungunya dengan si dungu yang mahu dipolitikkannya. Semua orang tahu kedunguan pihak itu, jadi tidak perlu ditambah-tambah sehingga menjengkelkan.
Kita akan melalui semusim lagi pancaroba, sekiranya diizinkan. Belajar daripada kebodohan ataupun tidak, masa tidak mungkin akan menunggu (kecuali kamu mengalami kepincangan genetik, ‘Chrono-Displacement’). Pengalaman semakin bertambah, sama ada kita dapat menggunakannya dengan baik, terpulang pada tingkat akal. Sejauh mana kita merancang, sejauh mana kuasa di atas sana mengizinkan, kita cuma dapat pasrah, dan tawakal. Syukur dunia masih berputar, syukur kita masih punya perasaan untuk mengimbangi segala-galanya. Syukur kepada Tuan Empunya diri kita. Salam Ma’al Hijrah.
2 comments:
Salam Ma'al Hijrah Tuan Zaki! Ya, semoga kita dapat terus belajar dengan rasa rendah hati, dan tidak leka tenggelam dalam kedunguan yang semakin bertingkat!
Lepas ini boleh tambah gambar kaver baru di bahagian karya itu ya?
Huh lama tiada khabar berita!
Post a Comment