Wednesday, May 30, 2007

fragmen takluk jagat

Aku ketandusan ilham untuk menulis di blog ini. Jadi, aku letakkan sedikit fragmen daripada kisah yang aku karang di sini. Insya-Allah, kisah ini bakal menemui kalian dalam bentuk yang lengkap. Doa-doakanlah…

“Tuan hamba cintakannya?”

Bayu tenggelam dalam diamnya. Wajah Puteri Ariasha Cinta Castra yang basah ditimpa hujan seakan melekat dalam fikirannya. Juga bicaranya yang berbaur nada kekecewaan bermain-main di telinga dan merenyuk hatinya.

“Hamba rasa, hamba sudah kehilangannya.”

Zilastra tertawa berdekah-dekah mendengarnya. Dan tawa itu bagai membakar perasaan pewaris Takluk Jagat dan Indera Bumi. Dipandu perasaannya, Bayu melonjak dan meluru kepada Zilastra dan cuba menyerangnya. Dengan mudah waris terakhir Rumah Helang Tunggal itu mengelaknya dan menolak Bayu terjelepuk ke tanah.

“Sakit bukan? Perasaan kehilangan cinta?”

Bayu tidak menjawab. Nafasnya mendengus kuat. Dia terus merenung sahabat yang diserangnya itu dengan pandangan yang tajam.

“Begitulah juga sakitnya perasaan Tuan Puteri Ariasha apabila tuan hamba menyuruhnya meninggalkan Tanah Ini. Cintanya adalah pada tanah bertuah ini! Sekiranya tuan hamba memaksa tuan puteri meninggalkan cintanya, bermakna tuan hamba memaksanya untuk MATI!” Zilastra membentak meluahkan apa yang tersirat di dalam hati sang puteri Bunian. Biarpun dia hanya baru mengenalinya, namun dia amat memahami perasaan si perawan itu. Sungguhpun dirinya tiada mempunyai kelebihan menyelam ke dalam hati nurani manusia seperti kaum Bunian, namun apa yang tersirat di sebalik raut wajah, pergerakan dan nada suara sang puteri Bunian, dia dapat membaca semuanya.

Bayu tersentak dan lantas wajahnya berubah. Langsung tidak disangkanya cadangan mudah yang diberikan demi menyelamatkan kaum Bunian membawa kepada pengertian yang jelas berbeza.

“Bayu, tuan hamba mesti mengerti… tiada siapa dapat terus hidup tanpa cinta.” Zilastra kembali tenang. Namun, dadanya masih lagi berombak. Wajahnya dipalingkan ke timur, arah wilayah Dakawa.

Angin yang menyapa sesekali selepas hujan begini, dinginnya menggigit ke tulang hitam. Awan yang membawa hujan sudah langsung hilang bersama-sama sabung halilintar dan dentum petir. Bintang berjuta kembali berkelipan menambahkan seri kegelapan malam. Dan di bumi, di tempat diamnya dua orang manusia ini selepas di timpa hujan, yang kedengaran cuma deru larian air di lantai hutan membawa bersama kelodak tanah yang terhakis juga butiran pasir ke lembah yang lebih rendah.

“Hamba tidak menyangka, perasaan sayang kepada tanah bertuah ini juga adalah satu ‘cinta’.” Perlahan-lahan Bayu bangun menghadap sahabatnya. “Zilastra, hamba juga tidak mahu hidup selama-lamanya.”

No comments: