Friday, July 03, 2009

encore

Entah sudah berapa kali mimpi itu berulang dalam tidurku. Dan malam semalam ia berulang lagi. Ceritanya sama, tetapi lokasinya kerap kali berubah. Daripada sebuah perkampungan Melayu tradisional, dan malam semalam berubah ke sebuah bangunan yang menyerupai asrama sekolahku dahulu.

Seperti biasa, mimpi itu bermula dengan aku yang dalam keadaan keliru, sendirian di malam gelita. Dan seperti biasa juga, apabila menoleh ke belakang, api kecil kelihatan di kejauhan. Semakin lama api itu semakin dekat, dan aku mendapati ia berpunca daripada sebatang jamung yang dibawa oleh sesusuk tubuh yang sedang berlari. Semakin hampir, aku dapat melihat jelas susuk itu – berpakaian Melayu lama, seperti apa yang dapat kita lihat dalam cerita-cerita purba, filem Melayu hitam putih, lengkap dengan samping dan destar. Ia berlari ke arahku, aku katakan ‘ia’ kerana apabila hampir, aku dapat melihatnya dengan jelas susuknya – yang nyatanya bukan manusia, tetapi mungkin pernah menjadi manusia. Susuk itu cuma tulang rangka. Dan destar itu terletak elok di atas tengkoraknya. Sesuatu yang aku perasan, tangannya yang cuma tulang itu memeluk erat sebuah bungkusan kain yang aku dapat melihat isinya – seperti kitab tebal tanpa kulit.

Aku menggeletar dan sudah tentu takut. Aku membuka langkah, cuba melarikan diri daripadanya. Tetapi ia amat pantas. Sedar-sedar sahaja sudah berada di belakangku. Aku terus duduk dan menekup kepala, takut memikirkan apa yang mungkin dilakukannya kepadaku. Tetapi ia terus berlalu. Baru aku sedar, ia bukan mengejar aku tetapi ia sedang dikejar.

Sekonyong-konyong, aku terdengar riuh suara. Kata mereka, “Tutup pintu kota!” Aku memandang ke arah laungan itu, ada seorang lelaki berperut buncit yang berpakaian seperti tulang rangka tadi, berdiri di hadapan ratusan orang yang juga berpakaian sama. Aku tahu dia memberi arahan kepada seseorang, lalu aku menoleh mencari kepada siapa ia ditujukan. Tidak jauh di hadapan, entah bila ia berada di situ, ada sebuah gerbang daripada kayu dan buluh sedang ditutup oleh beberapa orang lelaki. Sebelum habis gerbang itu ditutup, aku dapat melihat di sebaliknya, seorang lelaki berpakaian segak seperti hulubalang diiringi ratusan orang bersenjata dan membawa jamung sedang mara. Mereka nyatanya seperti ingin memulakan perang.

“Kertas-kertas ini kita mesti pertahankan. Jika jatuh ke tangan yang salah, seperti mereka, tidak tahu entah apa yang akan jadi.” Lelaki berperut buncit itu tiba-tiba berkata kepadaku. Walaupun entah sudah berapa kali aku mendengar kata-kata itu yang sama dalam setiap ulangan mimpi ini, aku masih tidak faham maksudnya.

Tempat itu tiba-tiba terang benderang. Jika mimpiku itu bersuasana kampung Melayu, akan ada menara-menara tinggi diterangi api jamung dan pemanah-pemanah di atasnya yang bersedia dengan anak panah berapi. Tetapi mimpi semalam sedikit berbeza. Tiada menara. Pemanah-pemanah itu berdiri di koridor belakang setiap tingkat bangunan. Tetap bersedia. Seperti gulungan filem yang rosak, mimpi itu berakhir di situ.

Sekurang-kurangnya tulang rangka itu tidak kelihatan lagi.

Wednesday, April 15, 2009

datanglah beramai-ramai!



Monday, December 29, 2008

ketibaan musim baru

Setiap apa yang kamu mahu, kamu belum tentu dapat memilikinya. Kemahuan dan perancangan adalah perkara biasa yang kamu dipersoalkan dan kamu baca di majalah-majalah setiap kali menjelang tahun baru. Dan jika kamu berjaya memiliki apa yang diinginkan serta perancangan kamu pada tahun sebelumnya menjadi tugu yang dapat dipeluk dengan tanganmu, jangan lupa bersyukur. Senyumlah.

 

Tetapi sekiranya keinginanmu masih jauh, ataupun mungkin kamu fikir tidak mungkin dapat kamu mencapainya, jangan pula kamu memijak-mijak ekor anak kucing kamu. Teruskan senyum dan beri kucing kamu whiskas. Perancangan kamu cuma sebahagian kecil, lebih kecil daripada milinano kepada adikarya perancangan Tuhan. Aku percaya dan tahu kamu juga percaya, rezeki yang dijanjikan-Nya tidak akan ke mana-mana. Selamat menyambut Maal Hijrah 1430 dan Tahun Baru 2009.

Friday, December 26, 2008

hujan (bukan yang boleh menyanyi tu!)

Hari semalam sudah berlalu, tapi dinginnya masih kekal. Hujan semalam yang bagai tidak mahu berhenti membawa sehingga ke pagi sunyi ini, cukup untuk aku katakan sebagai satu rahmat. Ya… ya! Hujan = rahmat, klise! Tapi sekiranya kamu kata cinta daripada Tuhan itu klise, adakah kamu bersedia menerima twist daripada-Nya?

p/s: Terima kasih kepada saudari yang memberikan hadiah. 

Wednesday, November 12, 2008

bukan salah lantai mengembung...

Platform kaca. Lampu biru. Dia menari, berpusing-pusing. Sunyi tanpa sebarang irama. Gaun hitamnya kembang bagaikan mawar merekah di hujung ranting yang layu. Chokernya yang dihiasi kristal-kristal Swarovski bersinar-sinar memancar warna-warna bahagia. Matanya terpejam. Tangisnya duka.

Dia terhenti lalu terduduk. Gaunnya terhampar di sekelilingnya bagai telipuk di muka tasik tenang. Dia tertunduk. Juraian yang menitis dari matanya lebih jernih daripada kristal-kristal di lehernya. Sedunya mula menjadi irama mengisi sunyi.

Hatinya patah. Tariannya canggung. Lantainya rata. Bukan salah panggung. Salah dirinya. Dia sendiri. Sehati Berdansa perlukan pasangan...

Thursday, November 06, 2008

maskara shorties: nostalgia wayang pacak

Dulu-dulu, masa aku belum tadika, akan ada sebuah van masuk kampung dengan terpacak corong pembesar suara di atas bumbungnya. Di sisi van itu ada logo yang gambarnya kelihatan seperti mikrofon berwarna hijau. Ia datang dengan bunyi bingit enjin karburator yang bergegar. Tut-tut-tut macam enjin bot pukat ikan di kuala. Dan lelaki di dalam van itu yang berada di sebelah pemandu akan menjerit kuat-kuat pada mikrofon di tangannya, "Tuan-tuan dan puan-puan! Malam ini akan diadakan tayangan wayang gambar di padang sekolah! Datanglah beramai-ramai!" Jalan di kampung aku bukan elok sangat masa dulu-dulu. Jalan tanah merah yang berlubang-lubang dan berbonggol-bonggol. Entahlah berapa kali gamaknya mikrofon masuk ke dalam mulut lelaki itu.

Jadi pada malam itu, orang ramai akan berpusu-pusu memenuhi padang sekolah menatap kain putih yang direntangkan dengan dua tiang buluh yang tinggi. Sampai masa yang ditetapkan, projektor yang diletakkan di atas bumbung van yang masuk kampung tadi akan mula menayangkan gambar. Contohnya filem kempen kebersihan seperti mencadangkan orang ramai menanam sampah sarap daripada membuang ke dalam sungai ataupun apa-apa sahaja perkara baru yang ingin dimaklumkan kerajaan. Kemudian barulah filem hiburan ditayangkan. Biasanya cerita Bujang Lapuk atau mana-mana cerita yang sezaman dengannya.

Itu cerita dulu-dulu. Sekarang, wayang pacak sudah amat jarang dan mungkin juga sudah tiada. Tetapi, pada 1 November lepas, nostalgia ini (pada aku) berulang kembali. Bertempat di Rumah Pena dalam acara Maskara Shorties yang dianjurkan Sindiket Sol-jah. Tetapi mereka tidaklah menayangkan filem Bujang Lapuk dan tiada projektor di atas bumbung van. Ini wayang pacak moden yang menayangkan filem-filem pendek yang ada sesetengahnya bersifat eksperimentalis.

Pada aku yang tidak tahu apa-apa mengenai falsafah perfileman, aku cuma duduk dan menikmati setiap tayangan. Sekurang-kurangnya aku belajar benda baru dan mungkin juga solusi baru dalam hidup. Contohnya, jika susah tidur, belajarlah silap mata. Jika jumpa perempuan dalam bilik air, jangan terus lari kerana menyangkakan dia itu hantu. Mungkin dia cuma alien yang datang bertandang. Jika jumpa awek berbaju raya (baju kurung baru) pada hari biasa, dan bercakap pula dalam slanga British, hati-hati! Itu mungkin ejen Mossad. Jika pakai seluar pendek sebagai seluar dalam, jangan lupa periksa kalau-kalau di dalam poketnya ada kunci. Mana tahu hujung kunci itu tercucuk anu, naya! Kalau setakat terlupa kunci itu, ok lagi (biasala, sama seperti kes orang terlupa rokok. Cari merata dan siap marah member curi rokok. Padahal rokok tu ada terselit di telinga). Jika jadi ahli kongsi gelap, kamu akan ada harapan untuk disumpah menjadi ayam. Dan kesudahan bagi ayam adalah ayam proses. Tetapi sekurang-kurangnya disumpah menjadi ayam lebih baik daripada disumpah menjadi getah. Kerana kesudahannya kamu akan menjadi getah asap berbunga. Ahli kongsi gelap dan 'bunga' adalah dua perkara yang tidak mungkin serasi sampai bila-bila. Jika kamu mula bermadah cinta luka dalam pelbagai aksi seperti telentang atau telangkup dan mengenakan bedak tebal seperti tepung gomak, maknanya tak lambatlah tu. Sebagai langkah keselamatan, jangan bawa pisau ke rumah awek kamu. Jika kamu memandu kereta dalam Kuala Lumpur sambil berbalas sms dengan rakan/awek kamu yang juga sedang memandu, kamu akan mendapat feel seperti berada di Ibiza. Jika anak kamu pulang dari sekolah sambil tersenyum dan berpegang tangan dengan seseorang yang kelihatan seperti kutu rayau dengan guni penuh tin kosong, kamu perlu berbangga. Dia anak yang baik. Jika kamu lupakan ibu kamu di kampung, kamu pasti akan berjaya menjadi doktor kelak. Ada juga filem yang membuatkan aku terfikir. Jika kamu Melayu, apa buktinya? Cukup dengan mengatakan mak bapak kamu Melayu? Di mana Melayu itu? Setakat genetik sahaja? Cukupkah? Aku tahu aku Melayu, dan aku tiada jawapannya. Aku juga berasa bangga kerana untuk sebuah produksi filem pendek, orang Malaysia juga mampu mengambil pelakon-pelakon antarabangsa. Pembikin filem 'panjang' yang cuma setakat mengambil pelakon Filipina yang cuma namanya sahaja seperti orang Eropah patut berasa malu. Jika kamu kumpulan muzik yang membikin video muzik, letaklah adegan letup-letup. Kapal terbang melanggar bangunan contohnya. Kamu akan kelihatan cool dan berpengetahuan luas tentang politik. Jika kamu seorang pendiam dan tidak banyak cakap di pejabat, sekurang-kurangnya cubalah bercakap dengan anak isteri kamu. Tambah pula jika isteri kamu comel. Sebab jika akhirnya kamu meminta maaf di dalam bilik sambil menangis memeluk kedua mereka, setengah jam kemudian kamu mesti hangin satu badan pula kerana anak kamu tidak faham-faham nak keluar dari bilik! Juga jangan buka radio bila pelatih TLDM sedang berkawad. Nanti mereka menari tak cukup tanah!

Secara mudahnya, setiap filem yang ditayangkan adalah unik. Aku tidak mungkinkan mampu untuk mengulas dan menilai setiap persembahan seni yang dipaparkan. Cuma aku kagum dengan setiap usaha mereka yang terlibat untuk menghasilkan setiap persembahan. Perasaan aku berbaur dan bergerak dengan setiap larian imej pada skrin walaupun tidak semuanya aku faham. Apapun, tahniah kepada semua yang terlibat. Humchaaa!

Thursday, October 09, 2008

tahniah, anda hidup dalam tahun 2008

Aku mendapat ini daripada mesej yang dilanjutkan kepada aku di dalam Facebook (aku ubahsuai sedikit).


"Anda sedar anda sedang berada dalam tahun 2008 apabila...




1. Anda pergi ke sebuah majlis, ambil gambar dan 'pamerkan' gambar anda di dalam Facebook, Friendster ataupun blog.




2. Anda masih ingat bila kali terakhir anda bermain solitaire menggunakan kad sebenar? (untuk kes aku, rasanya 1997)




3. Antara sebab anda tidak menghubungi rakan-rakan lama anda adalah kerana mereka tidak mempunyai akaun YM, Friendster, Myspace ataupun Facebook.




4. Anda sanggup menyelongkar semua tempat di dalam rumah semata-mata mencari remote control tv anda daripada cuma menekan butang di tv anda.




6. Aktiviti anda pada waktu petang ataupun masa terluang adalah duduk di hadapan pc anda.




7. Semasa anda membaca senarai ini, anda cuma tersenyum dan mengangguk.




8. Anda terfikir, betapa bodohnya anda membaca senarai ini.




9. Anda terlalu leka sehingga tidak menyedari nombor 5.




10. Anda terus scroll ke atas untuk mencari nombor 5.




11. Sekarang anda ketawa kerana kebodohan anda sendiri."