Monday, February 04, 2008

Hilang


Panggilan telefon daripada seorang teman pelukis, Ameen Ard-One membuatkan aku terkejut dengan berita yang disampaikannya. Dalam hati, aku menolak daripada mempercayai berita ini. Tidak sampai beberapa minit, masuk pula SMS daripada seorang kartunis senior, iaitu Umbut- juga menyampaikan berita yang sama. Aku segera menghubungi Alif Firdaus dan beberapa teman lain kerana inginkan kepastian sambil melarikan kursor tetikus untuk klik forum Pergh.com. Ada thread baru dibuka, sebuah pengumuman daripada seorang teman rapatnya, Icesoul. Aku terpaksa mengakui. Sahabatku, Panaharjuna sudah tiada.


Beberapa panggilan telefon dibuat, akhirnya aku, Serunai Faqir, Icesoul dan Helmino (seorang lagi pelukis yang sememangnya bersahabat juga dengan Allahyarham) bertolak ke Kg. Sri Kendong, Negeri Sembilan. Semasa kami tiba, majlis tahlil sudah dimulakan. Serunai Faqir dan aku menunggu di luar seketika sementara Helmino dan Icesoul masuk ke rumah. Seorang wanita menghampiri kami dengan langkah yang ringan dan raut yang sayu. Aku sudah mengagak wanita itu adalah ibu Allahyarham. Detailnya kalian boleh baca di blog Serunai Faqir.


Tatkala di dalam rumah, semasa bersama-sama mengalunkan surah Yasin, aku berasa amat sayu. Allahyarham adalah antara beberapa sahabat rapat yang bertanggungjawab membawa aku ke dunia penulisan. Antara insan-insan bergelar penulis yang pertama aku kenal.


Kami sudah berjanji, seperti tahun-tahun lepas untuk melepak semasa pesta buku nanti. Terasa masih segar apabila tahun lepas, aku, dia, Icesoul dan beberapa kenalannya yang lain (aku tak kenal) bersandar di dinding dewan dengan kaki belunjur di belakang booth Creative Enterprise. Masing-masing bergurau dan berketawa tak ingat dunia. Dan kami perasan Pak Jaafaar Taib menjeling-jeling kami dengan penuh syak.


Dan untuk tahun ini... tiada lagi.

4 comments:

Latiptalib said...

Assalamualaikum,

Dia pergi dengan tenang semasa tidur. Ibunya walau berasa kehilangan tetapi telah reda dengan pemergian anak kesayangannya. Sebagai kawan kita juga berasa kehilangan. Namun Allah SWT lebih menyayangi maka dia pergi dahulu dari kita.

Ibunya bercerita ramai kawan-kaman Allahyarham Ahmad Zafran yang datang turut menitiskan air mata dengan pemergiannya.

Al fatihah.

Ariyatna Adri said...

Tak sangka kita tak berpeluang berjumpa dia lagi. Dan bagiku ia adalah kesedihan yang tak terucap.

Semoga arwah sentiasa di rahmati Allah. Al fatihah.

サンテラ said...

I just lost a colleague too in an accident. It makes me sad that I have to imagine he's only out of the office to do something else. Whenever I call his name he wouldn't be around anymore.

May God bless our friends and grant them eternal place in Heavens. Amen.

Anonymous said...

Panah..semoga ruhmu diterima Allah..Al Fateha