Monday, December 20, 2010

Betapa aku rindu

Membaca atau menuturnya, akan membuat jiwa beralun membuai, melankolik. Bangkitnya rasa sesama manusia, mengukur mesra yang pernah/saling terjalin. Kita akan mudah begelonjak dada, memungkinkan sehingga menitis air mata. Ini adalah rasa yang patut kau dan aku syukuri.

Bagi kita yang punya pegangan, sasaran rindu itu hanya kepada Dia – adalah punca kekuatan. 'Betapa aku rindu', satu frasa yang mampu membangkitkan rasa yang berbeda bagai langit dan bumi.

Tuesday, December 07, 2010

Akhirnya aku update blog! Lalalala~

Malam ini kita melihat diri. Sejauh mana sudah kita berjalan. Seluas mana sayap sudah kita tebarkan. Berapa banyak yang sudah kita dapat. Berapa banyak yang sudah kita hilang. Apa pengertian yang sudah kita faham dalam pencarian. Apa makna yang masih sukar kita ungkapkan dalam kejumpaan. Damaikah dalam semusim ini, ataupun yang hadir cuma gelora yang membadai hidup. Kita terancang ataupun rakus memburu cita-cita. Apakah kita ada cita-cita?

Mungkin kita patut bersyukur sekiranya apa yang kita kenangkan pada malam ini adalah dosa semusim yang lepas. Bermakna kita masih punya rasa cinta pada kedaifan diri, benteng kebongkakan yang mungkin bakal menghanyut kita pada perjalanan musim baru yang sudah pun bermula. Kita berfikir untuk membaiki kekurangan diri yang kita sedar, atau mungkin menambah kelebihan diri yang kita ada-adakan. Perasan pada kejelikan mata yang memandang, atau langsung kita tidak peduli.

Semusim lepas juga, sehingga ke malam ini, kita melihat manusia-manusia bersuara nyaring di jaringan sosial – tentang kedunguan itu dan ini. “Hakikat perjuangan,” sesetengahnya menyuarakan. Aku sendiri tidak faham. Hal-hal politikus aku langsung tidak mengerti. Cuma aku rasa, kedunguan tidak perlu dipolitikkan, kerana orang yang mempolitikkan kedunguan itu cuma akan sama sahaja dungunya dengan si dungu yang mahu dipolitikkannya. Semua orang tahu kedunguan pihak itu, jadi tidak perlu ditambah-tambah sehingga menjengkelkan.

Kita akan melalui semusim lagi pancaroba, sekiranya diizinkan. Belajar daripada kebodohan ataupun tidak, masa tidak mungkin akan menunggu (kecuali kamu mengalami kepincangan genetik, ‘Chrono-Displacement’). Pengalaman semakin bertambah, sama ada kita dapat menggunakannya dengan baik, terpulang pada tingkat akal. Sejauh mana kita merancang, sejauh mana kuasa di atas sana mengizinkan, kita cuma dapat pasrah, dan tawakal. Syukur dunia masih berputar, syukur kita masih punya perasaan untuk mengimbangi segala-galanya. Syukur kepada Tuan Empunya diri kita. Salam Ma’al Hijrah.

Thursday, October 15, 2009

otak beku

Kata manis jadi racun. Racun jadi persiapan.

Tuang saja ke dalam sungai susu itu. Biar semua terbongkang.

Saturday, October 03, 2009

satu lagi ulasan (yang agak panjang berjela)

Sudah agak lama, tapi masih ada orang yang mahu mengulas. Terima kasih kepada sdr. Fadli Al-Akiti kerana sudi berkongsi perasaan beliau membaca Takluk Jagat bahagian 1. Ikuti repekan beliau setelah membaca repekan saya dalam bentuk novel yang lebih tebal daripada repekan beliau di blog beliau (ayat ini adalah sejenis ayat yang digunakan untuk mengelirukan musuh).

Oh, ya! Selamat hari raya! Maaf zahir batin!

Sunday, August 23, 2009

iklan apa? iklan raya... iklan apa? iklan raya la! @#**%$

Siapa masih ingat iklan raya petronas 2007?



Aku baru tahu rupa-rupanya ia berdasarkan sebuah filem pendek:


Erk, aku tak tahu filem pendek ini berasal dari negara mana... malas nak google... hehe... Selamat berpuasa semua!

Friday, July 03, 2009

encore

Entah sudah berapa kali mimpi itu berulang dalam tidurku. Dan malam semalam ia berulang lagi. Ceritanya sama, tetapi lokasinya kerap kali berubah. Daripada sebuah perkampungan Melayu tradisional, dan malam semalam berubah ke sebuah bangunan yang menyerupai asrama sekolahku dahulu.

Seperti biasa, mimpi itu bermula dengan aku yang dalam keadaan keliru, sendirian di malam gelita. Dan seperti biasa juga, apabila menoleh ke belakang, api kecil kelihatan di kejauhan. Semakin lama api itu semakin dekat, dan aku mendapati ia berpunca daripada sebatang jamung yang dibawa oleh sesusuk tubuh yang sedang berlari. Semakin hampir, aku dapat melihat jelas susuk itu – berpakaian Melayu lama, seperti apa yang dapat kita lihat dalam cerita-cerita purba, filem Melayu hitam putih, lengkap dengan samping dan destar. Ia berlari ke arahku, aku katakan ‘ia’ kerana apabila hampir, aku dapat melihatnya dengan jelas susuknya – yang nyatanya bukan manusia, tetapi mungkin pernah menjadi manusia. Susuk itu cuma tulang rangka. Dan destar itu terletak elok di atas tengkoraknya. Sesuatu yang aku perasan, tangannya yang cuma tulang itu memeluk erat sebuah bungkusan kain yang aku dapat melihat isinya – seperti kitab tebal tanpa kulit.

Aku menggeletar dan sudah tentu takut. Aku membuka langkah, cuba melarikan diri daripadanya. Tetapi ia amat pantas. Sedar-sedar sahaja sudah berada di belakangku. Aku terus duduk dan menekup kepala, takut memikirkan apa yang mungkin dilakukannya kepadaku. Tetapi ia terus berlalu. Baru aku sedar, ia bukan mengejar aku tetapi ia sedang dikejar.

Sekonyong-konyong, aku terdengar riuh suara. Kata mereka, “Tutup pintu kota!” Aku memandang ke arah laungan itu, ada seorang lelaki berperut buncit yang berpakaian seperti tulang rangka tadi, berdiri di hadapan ratusan orang yang juga berpakaian sama. Aku tahu dia memberi arahan kepada seseorang, lalu aku menoleh mencari kepada siapa ia ditujukan. Tidak jauh di hadapan, entah bila ia berada di situ, ada sebuah gerbang daripada kayu dan buluh sedang ditutup oleh beberapa orang lelaki. Sebelum habis gerbang itu ditutup, aku dapat melihat di sebaliknya, seorang lelaki berpakaian segak seperti hulubalang diiringi ratusan orang bersenjata dan membawa jamung sedang mara. Mereka nyatanya seperti ingin memulakan perang.

“Kertas-kertas ini kita mesti pertahankan. Jika jatuh ke tangan yang salah, seperti mereka, tidak tahu entah apa yang akan jadi.” Lelaki berperut buncit itu tiba-tiba berkata kepadaku. Walaupun entah sudah berapa kali aku mendengar kata-kata itu yang sama dalam setiap ulangan mimpi ini, aku masih tidak faham maksudnya.

Tempat itu tiba-tiba terang benderang. Jika mimpiku itu bersuasana kampung Melayu, akan ada menara-menara tinggi diterangi api jamung dan pemanah-pemanah di atasnya yang bersedia dengan anak panah berapi. Tetapi mimpi semalam sedikit berbeza. Tiada menara. Pemanah-pemanah itu berdiri di koridor belakang setiap tingkat bangunan. Tetap bersedia. Seperti gulungan filem yang rosak, mimpi itu berakhir di situ.

Sekurang-kurangnya tulang rangka itu tidak kelihatan lagi.