Thursday, June 30, 2005

Pembikinan Takluk Jagat...

Bulan Julai 2005, bermakna genap tempoh 13 bulan dari perkataan pertama yang aku mula tulis dalam kisah Takluk Jagat. Kisah ini asalnya adalah untuk komik yang aku ingin lukis. Tapi untuk mengelakkan dari lupa jalan cerita, aku menulis skripnya dulu. Dan ceritanya menjadi semakin panjang, tanpa aku mula melukis walau satu kolum komik pun. Dalam pada itu juga aku semakin seronok ‘melayan’ khayalan watak-watak kisah ini; dan aku juga semakin seronok menulis! Dan dalam proses itulah, walau seronok menulis; aku dapati untuk menghasilkan kisah macam ni lebih susah dari apa yang aku fikirkan. Aku dah tak mampu lagi nak melukis kisah yang dah melalut panjang. Lagi pula aku pun dah lama tak melukis. Dari stroke yang ‘boleh tahan’ sekarang dah jadi ‘tak boleh tahan!’ Buat malu saja orang tengok! Jadi baik aku buat novel! Tapi dalam industri novel Malaysia yang lebih memihak kepada apa yang dinamakan novel popular (kisah romantis, cinta yang bersegi-segi, cinta korporat anak datuk-datuk, tengku dan yang sewaktu dengannya! -tapi takla semua novel Malaysia camni...), mau ka orang baca cerita aku ni? Ah, lantakla! Aku tak mau kerja aku jadi separuh jalan. Biarla makan masa bertahun-tahun pun, janji siap!
Inspirasi… aku banyak dapat inspirasi dari karya-karya yang pernah aku baca dan filem, drama dan anime yang aku tonton dan lagu-lagu yang aku dengar. Novel-novel fantasi seperti Lord of the Ring (triloginya), The Silmarillion, siri Fighting Fantasy (pinjam dari En. Imran Harris), dan banyak lagi yang aku dah lupa. Anime Naruto yang memberi aku idea untuk mengetengahkan konsep mantera dalam melaksanakan jurus/ hikmat yang menggunakan tenaga dalaman (Naruto menggunakan isyarat tangan dalam melaksanakan Jutsu). Komik dan manga Pedang Setiawan, X-Men, Full Metal Alchemist dan berlambak lagi. Drama Kung-fu (masa aku mula menulis cerita ni, aku seronok dok layan drama Taiji Prodigy- kisah pengasas Taichi; Cheong Kuan Bao (lakonan Dicky Cheung)) dan filem-filem epik dan bukan epik seperti Lord of the Ring (lagi!), Star Wars, Shaolin Soccer (?!- aku memang peminat setia Chow Sin Chee) dan berlambak lagi yang aku tak dapat ingat sekarang.
Mengapa ada pantun dan syair dalam cerita ni? Walau sekarang ni masih ramai yang dok sebut anak-anak Malaysia (terutamanya kaum Melayu) semakin meminggirkan pantun budaya bangsa, tapi aku fikir tak! Cuba fikir, sitkom Senario pun masih buat lawak ‘berasaskan’ pantun. Dan kalau sikit masa dulu, watak Budin dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu boleh buat orang pecah perut dengan pantunnya, walau simple- contoh; keretapi kepala merah, piiiraaahhh!- tapi itu masih pantun! Jadi jangan kata pantun sudah semakin terpinggir. Mungkin cuma kurang meluas macam zaman sebelum 70an dulu. Jadi sedikit sebanyak sumbangan aku pada khazanah bangsa, aku memasukkan pantun (yang sempurna dan tidak sempurna rukunnya- tak paham? Tanya cikgu B.M korang!) dan syair yang bersesuaian dengan kisah ini (kalau pantun dan syair aku tak sedap jangan marah aa… tapi nak complaint boleh! Ianya sangat membantu aku!).
Tapi kalau syair memang aku risau. Tak banyak pendedahan syair sekarang. Mungkin stesen tv atau radio boleh membantu meningkatkan kembali poulariti syair. Buat pertandingan ke, atau rancangan realiti yang dapat dimasukkan unsur-unsur begini. Atau sekurang-kurangnya peserta-peserta yang kemaruk sangat nak jadi penyanyi, yang nak masuk Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor dan lain-lain diwajibkan mengalunkan serangkap dua syair. Wei, bukan senang nak mengalunkan syair dengan baik! Suara kena power, merdu, lunak dan dinamik! (Hmm… aku dok bayangkan Paul Moss jadi juri pertandingan syair… camne ek?) – eh, sori dah melalut keluar topik. Tapi takpe la kan? Ni kan blog aku!
Dalam aku dok buat kajian untuk kisah Takluk Jagat, aku terjumpa sesuatu yang agak mengejutkan (tapi tak tau la kalau korang semua dah tahu benda ni kecuali aku!). Dalam sebuah buku usang, tajuknya Bunga Rampai Melayu Kuno, diterbitkan sebelum merdeka kalau tak silap aku, pengarang pulak orang Belanda, ada menyatakan sesuatu tentang pantun. Selama ini yang cikgu-cikgu B.M dan sejarah dok ajar kat sekolah, pantun ni adalah salah satu medium hiburan orang Melayu dulu-dulu. Tapi dalam buku Bunga Rampai Melayu Kuno menceritakan asalnya pantun sebelum diangkat sebagai terjemahan hiburan orang Melayu adalah kata-kata atau ucapan oleh seseorang untuk memperolehi kuasa hikmat dan kesaktian! Jadi dalam erti kata lain- pantun sendiri adalah satu cabang atau satu bentuk mantera! Dalam peredaran zaman, ia diubah dan dijadikan hiburan oleh datuk nenek kita. Mungkin sesudah kedatangan Islam ke Tanah Melayu ia diubah. Entahlah, Tanya la pakar sejarah! Aku cuma bagitau apa yang aku dapat dari buku tu saja. Bagi orang yang tak tau macam aku mulanya, ini pun satu pengetahuan baru mengenai kesenian Melayu.
Dah tau mantera ni silap haribulan boleh pesongkan akidah, pasal apa hang tulis dalam cerita ni? Ni mungkin pertanyaan sesetengah orang. Ok, aku bukan niat nak bercakap pasal agama, aku bukan ahlinya. Rangkap-rangkap yang kononnya mantera dalam kisah ni cuma pantun-pantun biasa yang aku cipta dan tulis sendiri. Cuma nak memberi keunikkan dalam cerita aku. Dan juga membantu menghidupkan karekter-karekter kisah ini, meyampaikan semangat dan kesungguhan mereka kepada pembaca yakni korang. Bagaimana mantera ni berfungsi dalam kisah Takluk Jagat, telah aku tulis. Mungkin akan keluar dalam Takluk Jagat bahagian 18 atau 19. Korang teruskanlah membaca kalau nak tau…
Sekarang dalam kepala aku ada perancangan nak tulis tiga lagi cerita. Satu side story Takluk Jagat, satu kisah Takluk Jagat masa zaman atuk Bayu Adi Jata (Gelora Singara Jata) dan satu lagi cerita moden, pasal hackers mungkin. Aku belum buat keputusan mana satu nak tulis dulu. Tunggu Takluk Jagat siap 100% dan aku berpuas hati (ntah bila baru siap, camana la penulis lain dalam tiga bulan leh siap 1 novel? Nak kena disiplin diri le ni!), baru aku nak fikirkan cerita yang mana patut ditulis dulu.
Takluk Jagat yang hangpa semua baca kat blog ni bukanlah tulisan yang siap. Tapi lebih kepada raw idea aku saja. Aku cuma edit sikit-sikit tapi belum puas hati. Jadi maaf atas segala kesalahan dan kecacatan ayat yang anda jumpa. Jika ada teguran atau komen, sila sampaikan kerana ianya sangat membantu orang baru seperti aku.
Jadi, selamat membaca dan semoga terhibur.

No comments: