Thursday, February 01, 2007

buku baru



Hari ini, aku berkesempatan bergentayangan di pekan. Sebetulnya aku ingin ke farmasi, mendapatkan bekalan ubat-ubatan ibuku yang sudah habis. Betapa senang hatiku hari ini, biarpun panas jam empat begitu terik, namun pada musim begini, anginnya berhembus kuat. Dan jaket tebal putihku tidak pernah meninggalkan tubuh. Seperti orang demam, di tengah-tengah rembang berpakaian tebal.

Selepas aku mendapatkan bekalan ubat-ubatan yang aku cari, aku meninggalkan farmasi itu. Terfikir-fikir ke mana pula arah tuju. Sekilas, ternampak sebuah toko buku yang sudah lama bertapak di pekan ini. Seingatku, sedari kecil toko buku itu sudah ada. Penyimpan dan pengedar buku-buku DBP di negeri ini, itu yang aku tahu mengenai toko buku ini.

Jadi, tanpa banyak berfikir, aku berjalan ke sana. Ubat-ubatan aku simpan sahaja dalam kocek. Tidak banyak, cuma tiga keping papan pil.

Di muka pintu toko buku itu, aku sudah nampak apa yang ingin dibeli. Naskah Dewan Sastera keluaran Januari 2007. Terus ku ambil dan masuk ke dalam dan melihat-lihat buku-buku yang ada. Terliur juga aku, melihat banyak buku yang menarik dan ingin ku baca. Namun, memandangkan poket yang hampir kering, aku terpaksa memilih. Dan aku tertarik dengan sebuah buku yang terpamer. Karya Hamka berjudul Di Dalam Lembah Kehidupan. Seterusnya aku mencari-cari karyanya yang lama ku idamkan untuk dibaca, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Malangnya karya-karya tersebut tiada. Terus ku ambil Di Dalam Lembah Kehidupan dan membayarnya. Kebetulan pada saat itu, naskhah Dewan Sastera terbaru bulan Februari tiba dalam bungkusan. Dengan kebenaran, aku sendiri mengoyak bungkusan itu dan mengambil satu naskhah.

Seterusnya aku ke sebuah pasar raya membeli sedikit barangan dapur. Di satu sudut pasar raya itu, ada sebuah kiosk menjual majalah dan novel-novel cinta. Lantas, aku teringat sebuah novel yang ingin ku dapatkan, memandangkan aku pernah membaca sebuah novel yang ada kaitan dengannya, tentu sekali sambungannya ingin ku baca. Cinta Sang Ratu aku dapatkan.

Aku teringatkan sepatah kata yang empunyanya aku sudah lupa yang bunyinya lebih kurang begini, “Sedikit duit yang aku ada, aku beli buku. Bakinya, aku gunakan juga untuk membeli buku. Sisa-sisa duit itu, barulah aku gunakan untuk membeli makanan.”

Aku pulang dan membeli sedikit kuih untuk minum petang…

No comments: