Saturday, February 17, 2007

Konsert Muhibbah

Rasanya, sudah lebih dua minggu suasana siang di rumahku ditemani bingit jentera-jentera dan ketukan-ketukan penukul. Dari awal pagi membawa ke petang, suara-suara jentera ‘siput’ penggaul simen, gergaji berkuasa dan tukul-tukul ‘manual’ melalak, hingar-bingar. Namun, lebih riuh adalah suara-suara pengendalinya, pekerja-pekerja binaan yang bermandi peluh menyiapkan pengubahsuaian rumah abangku, yang mana cuma di sebelah rumahku.

Tiga daripada mereka berbangsa Melayu, tiga lagi berbangsa Cina dan seorang India, menjadikan kumpulan mereka tujuh orang.

Dua hari lepas, salah seorang daripada mereka yang berbangsa Cina, dalam lingkungan lewat tiga puluhan kelihatan amat senang hati. Bernyanyi sahaja semenjak awal pagi. Mungkin gembira perayaan besar kaumnya sudah semakin hampir. Cong ceng… cong ceng… sahaja yang aku dengar.

Sampai tengah hari, dia masih lagi menyanyi, sehinggalah seorang sahabatnya, yang berbangsa Melayu melaung, “Hoi! Hang nyanyi lagu apa? Kami tak paham la!”

Pekerja Cina itu diam seketika, kemudian sekali lagi dilontarkan suaranya yang sumbang-mambang-sengau, pekat dengan telor Tionghua, “Percayalah… Kasihmu lama tersulam….” Lalu disahut oleh semua mereka. Pekerja berbangsa India pula siap berjoget. Aku pula tidak sangka ada orang Cina dan India (bukan remaja lagi!) hafal lagu Siti Nurhaliza. Ibu dan Ayahku di dalam rumah ketawa berdekah-dekah.

Hari itu, halaman rumahku menjadi tapak Konsert Muhibbah…

No comments: