Monday, September 10, 2007

Hijab dan Stratocaster


“Kau tahu bukan? Dia ada menyebutnya!”

Narzira yang sedang asyik menyedut sarsaparilla dengan aiskrim vanilla di atasnya hampir tersedak mendengar nada keras sahabatnya yang tiba-tiba. Tanpa melepaskan penyedut minuman dari mulut, bola matanya diangkat merenung sahabatnya yang berada di hadapan. Alisnya terjungkit.

“Dia seolah-olah ingin menyingkirkan aku!” Nada sahabatnya, Amelia, masih keras namun dalam kapasiti suara yang lebih terkawal. Sebuah rungutan kekecewaan.

“‘Seolah-olah’? Aku rasa apa yang diucapkannya muktamad.” Akhirnya Narzira melepaskan penyedut minuman daripada mulutnya dan bersuara. Jemarinya mengacau-ngacau sarsaparilla dingin supaya beraduk dengan aiskrim vanilla di dalam gelas besar. Bola matanya masih tertatap pada wajah Amelia. “Jadi, berapa lama masa yang kau perlukan sehingga aku dapat menghubungi kau kembali?” tanyanya dengan bersahaja.

“Selepas aku hantar kau balik, aku akan membenamkan wajah aku di bantal empuk dan menangis tersedu-sedu di dalam bilik meratap kekecewaan aku ini selama… erm…,” Amelia mendongak melihat banner-banner promosi makanan segera berbentuk empat segi yang tergantung di siling dengan wajah yang berpura-pura sedang berfikir, “…lima saat! Selepas itu kau boleh hubungi aku semula!”

“Lima? Aku sangkakan dua saat sudah cukup bagi kau.” Narzira tersenyum sinis.

“Otak aku cuma Athlon, bukan Core 2 Duo macam kau! Dia tentu tidak akan menduga kata-katanya boleh membangkitkan reaksi berantai.” Amelia ikut tersenyum.


“‘In revenge and in love, woman is more barbarous than man,’ Friedrich Nietzche.” Narzira kembali menyedut sarsaparillanya yang sudah sebati dengan aiskrim vanilla. Beberapa teguk sedutan, dia menolak gelas besar sarsaparillanya ke sisi meja dan mula menjamah burger daging daging berlapis keju.

Amelia pula mengangkat gelas oren karbonatnya dan menyedut perlahan-lahan. Matanya melirik sekitar restoran makanan segera itu. Pandangannya terhenti kepada seorang ibu muda yang memarahi anak lelakinya kerana bermain dengan burger yang terhidang di meja. Dia meletakkan kembali gelasnya dengan tertib, tanpa sebarang bunyi. “Ada kemungkinan dia cuba menguji aku?”

Narzira termenung sejenak mendengar kata-kata sahabatnya. “Berikan dia sesuatu yang berbaloi untuk diuji. Sekiranya dia ingin bermain-main, kau bawa dia ke tahap insane, bukan beginner class, bukan rookie class.”

“Aku tak akan menghina dia dengan membawa permainan ini pada tahap remeh-temeh, walaupun aku sudah mula berasa benci dengan dia.” Amelia mencemik wajah. Dia menolak-nolak tudung birunya di atas ubun-ubun dengan bahagian atas pergelangan tangan. Kepalanya dirasakan panas memikirkan perkara yang mengganggu ini. “Dia bukan lelaki biasa.”

The true man want two things: danger and play. For that reason he want woman, as the most dangerous plaything. Sekali lagi Friedrich Nietzche.” Narzira kembali menyambung menjamah burgernya. Amelia mengangguk-angguk.

“Kau tahu tak? Kita berdua, dengan restoran ini… dan topik perbincangan kita… klise.”

“Macam Samarinda?” tanya Narzira.

“Dan yang sewaktu dengannya.”

“Sekurang-kurangnya… kita tidak di taman dan melangut di bangku tepi tasik dan subjeknya adalah anak datuk ataupun tan sri.”

“Kalau dia anak datuk atau tan sri, aku sudah bawa kau ke taman, duduk di atas bangku di tepi tasik. Di situ kau akan mendengar aku meratap dan peranan kau adalah memujuk aku dengan kata-kata klise.”

4 comments:

Anonymous said...

wei awai promo buku hang ... hehehe aku baru sampai KL ptg tadi ...

sf

Abang Long said...

Salam Ramadhan. Apa habaq ?

Wei ... ingatan abang long terimbau .... "oh, sarsaparilla". Lama sungguh tak tegok ayaq tu ....

vovin said...

Itu gambar apa ya? Gambar dari game ke?

Anonymous said...

sf- bukan promo, saje je nak update blog... dari takde pape, aku letak je.

abang long- sarsaparilla best ooo...

vovin- itu gambar cosplayer yang comel membawa watak kuchiki rukia dari bleach.

~kangaq